PANDUAN MEMERAH SUSU DENGAN TANGAN ( MARMET )

Tahukah ibu-ibu bahawa pemerahan susu boleh dilakukan tanpa menggunakan alat bantuan khas? Dengan menggunakan tangan, pemerahan susu bukan sahaja paling mudah, berguna tetapi juga lebih bersih. Kaedah ini juga boleh dilakukan di mana-mana tanpa ibu khuatir akan ketiadaan alat bantuan pemerahan susu. Perlu diingatkan, sebelum melakukan pemerahan susu dengan tangan, pastikan tangan ibu dibersihkan dengan menggunakan sabun dan air bersih. Bersihkan kawasan areola dan puting dengan menggunakan air suam. Anda harus menenangkan fikiran, dan bayangkan wajah bayi anda untuk merangsang pengaliran susu. Kemudian ikuti beberapa panduan yang lebih mendalam untuk para ibu sebelum melakukan pemerahan.

Urutan
Lakukan urutan perlahan-lahan pada payudara ke arah puting atau tuam panas selama beberapa minit sebelum melakukan perahan untuk membantu pengaliran susu. Pastikan ibu duduk atau berdiri dengan selesa dan pegang bekas dekat dengan payudara ibu.

Sentuhan
Ibu perlu merasa kawasan hujung areola (tampuk hitam) sehingga menjumpai kawasan di mana payudara yang mempunyai rasa yang berbeza. Ibu akan merasai seperti berbiji-biji. Ini adalah kawasan di mana terletaknya saluran susu.

Mengampu
Letakkan ibu jari pada kawasan berbiji-biji tersebut dan jari telunjuk diletakkan bertentangan ibu jari atau sebaliknya. Ibu boleh mengampu payudara dengan jari yang lain atau menggunakan tangan yang sebelah lagi.

Menekan
Tekan payudara ke belakang, kearah dada dan kemudian dengan perlahan-lahan tekan ibu jari dan jari telunjuk serentak. Ini akan membantu pengeluaran susu.

Penitisan susu
Tekan dan lepaskan, tekan dan lepaskan berulang kali sehingga susu menitis keluar. Ulangi beberapa kali mengikut pusingan untuk mengosongkan semua bahagian payudara.

Perahan susu
Perah susu ke dalam bekas yang bersih dan disteril.

Merangsang
Perah setiap payudara. Beralih ke payudara yang sebelah lagi sekirannya pengaliran susu telah berhenti. Ibu boleh berhenti seketika dan mengurut payudara untuk merangsang aliran susu dan menyambung perahan semula.

Keringkan
Setelah selesai, sapukan beberapa titik susu ke atas puting dan keringkan puting

Penyimpanan
Simpan kuantiti yang mencukupi di dalam satu bekas untuk satu kali penyusuan sahaja.
Sebagai tips untuk para ibu, perahlah susu ibu dengan lebih kerap, lebih kurang 2 jam sekali atau apabila payudara terasa penuh. Jangan lupa mengambil pemakanan yang seimbang dan berkhasiat bagi memenuhi keperluan ibu yang menyusu.

Post a Comment

0 Comments