MASALAH PENYUSUAN SUSU IBU

MASALAH YANG KERAP TERJADI BAGI
 IBU MENYUSU

Banyak halangan yang mungkin perlu anda tempuh sepanjang usaha menyusukan bayi. Sebagai persediaan awal, ketahui panduan berkaitan jika anda ditimpa masalah penyusuan.

Bengkak Susu
Masalah bengkak susu akan berkurangan jika ibu menyusukan bayi. Antara simptom bengkak susu iaitu payudara nampak berkilat, sakit, tegang, keras dan rasa agak panas bila dipegang. Keadaan puting agak leper, bengkak dan merekah. Selain itu bayi anda akan sukar menyusu, hisapan kurang efektif kerana pengaliran susu yang tidak lancar. Punca berlaku pembengkakan susu ialah ibu jarang menyusukan bayi, menghadkan masa menyusu atau penyusuan yang terlalu singkat, tidak menyusukan pada waktu malam. hisapan kurang efektif atau ibu mula memberi anak minuman lain pada awal kelahirannya. Cara mengatasi masalah ini:

  • Betulkan posisi semasa mendakap bayi untuk disusukan.
  • Susukan bayi dengan kerap tanpa had siang dan malam.
  • Perah susu jika berpisah sekurang-kurangnya 6 kali sehari dan sekali pada waktu malam.
  • Kejutkan bayi yang sedang tidur untuk menyusu sekurang-kurangnya 2 jam sekali.
  • Tuam dan urut perlahan-lahan payudara sebelum menyusukan.
  • Mula menyusukan bayi sebaik sahaja payudara keras dan penuh.
  • Minta bantuan sesiapa untuk mengurut bahagian tengkuk sebelum menyusukan bayi.
Saluran Susu Tersumbat
Masalah ini terjadi apabila satu atau lebih saluran susu tersumbat. Mungkin payudara anda kelihatan biasa tetapi bila disentuh ada ketulan di bahagian tertentu dan terasa sakit. Selain itu, payudara kelihatan agak kemerahan. Bila menghadapi situasi tersebut anda perlu:

  • Membetulkan posisi dan dakapan untuk memastikan pengaliran susu yang lebih efektif.
  • Urut perlahan-lahan di sekeliling payudara hingga puting sebelum dan semasa penyusuan atau memerah.
  • Sokong payudara dengan telapak tangan.
  • Elak tidur meniarap dan memakai baju dalam yang ketat.
Mastitis

Masalah ini perlu diberi perhatian! Antara simptom yang dialami termasuk demam selesema, payudara akan berasa hangat, merah dan bengkak serta sakit. Puncanya sama seperti bengkak susu dan saluran susu tersumbat. Cara mengatasi masalah ini:

  • Periksa payudara untuk melihat simptom tisu rosak dan puting merekah. Perbetulkan pengaliran susu dengan memperbaiki posisi dan dakapan.
  • Kerap menyusu. Sekurang-kurangnya setiap 2 hingga 2 1/2 jam.
  • Ambil ubat segera jika berlaku apa-apa jangkitan.
  • Amalkan pemakanan berkhasiat dan banyak minum air.Jika simptom semakin jelas dan berlaku rekahan, kerap demam dan pengaliran susu yang kurang sempurna, rawat dengan antibiotik. Jika bimbang mengenai perkara ini, dapatkan rawatan awal dan berterusan selama 10 hari.
Tidak Cukup Susu

Tidak cukup susu menjadi alasan untuk ibu berhenti menyusukan bayi. Anggapan pengaliran susu tidak mencukupi untuk bayi adalah salah. Antara punca susu tidak cukup ialah dakapan yang lemah hingga menyebabkan hisapan kurang efektif dan pengaliran susu menjadi kurang. Antara lain, masa penyusuan terlalu singkat, tidak mempunyai susu akhir, jarang menyusu kurang daripada 8 kali dalam tempoh 24 jam, tidak menyusu di waktu malam dan banyak lagi. Jika terasa susu kurang, ibu boleh menambahnya dengan:

  • Perbetulkan posisi semasa menyusu.
  • Lebih kerap menyusu sekurang-kurangnya 10 kali dalam tempoh 24 jam.
  • Tidur berdekatan bayi dan susukan dia di awal pagi ketika tahap prolaktin tinggi.
  • Perah susu ibu selepas setiap kali penyusuan.
  • Tanamkan keyakinan bahawa anda boleh menyusu dan mengeluarkan bekalan susu yang cukup untuk keperluan bayi.
Puting Bengkak Dan Sakit

Jika payudara atau puting mengalami rasa sakit atau tidak selesa, pengurusan penyusuan mesti dinilai semula. Penyusuan tdak sepatutnya menyakitkan. Simptom seperti tidak selesa (gatal, rasa panas), sakit, merekah, ruam (dermatitis, herpes), kemerahan, kulit berkeping, kulit berkilat dan sakit selepas menyusu adalah tanda puting payudara bengkak dan sakit.

Punca masalah tersebut disebabkan oleh faktor dakapan dan posisi kedudukan yang tidak betul, bengkak susu, salah hisapan, bayi keliru antara hisapan puting botol susu dengan penyusuan ibu atau jika makanan tambahan telah diberi. Cara mengatasi masalah ini:

  • Mengurangkan bengkak susu di sekeliling puting dan aerola. Jika perlu perah dengan jari secara lembut.
  • Jika sakit semakin terasa, ambil ubat seperti paracetamol (panadol).
  • Jika rekahan puting semakin teruk, perah susu dengan tangan dan beri kepada bayi selama 1 hingga 2 hari.
  • Sebelum menyusukan bayi, tuam payudara untuk merangsangkan pengaliran susu. Mulakan penyusuan di sebelah payudara yang kurang sakit.
  • Susui bayi secara lebih kerap, mengikut keperluan bayi, elak daripada menghadkan penyusuan.
  • Selepas menyusu, perah sedikit susu akhir yang berlemak dan sapu pada puting. Biarkan sehingga kering.
  • Elak guna sabun dan alkohol untuk mencuci puting.
Masalah Susu Meleleh

Hal ini berlaku kerana payudara penuh dengan susu. Jadi, cuba tekap tapak tangan pada puting selama 1 atau 2 minit. Tukar pad coli bila lembap dan perah lebih kerap.

Sebarang pertanyaan dan pesanan boleh hubungi saya :

NURUL AQIDAH AZAHAR
(YOUR TRUSTED SHAKLEE INDEPENDENT DISTRIBUTOR)
sms/whatsapp 0174636210
Email: Aqidgirl_88@yahoo.com

Post a Comment

0 Comments