TUMPAH DARAH SELEPAS BERSALIN

Setiap wanita yang bersalin akan mengalami pendarahan faraj selepas melahirkan, tidak kiralah sama ada mereka melahirkan secara normal atau melalui pembedahan caesarean. Secara saintifiknya, pendarahan normal ini disebut sebagai lokia manakala pendarahan yang tidak normal atau serius diistilahkan sebagai ‘postpartum haemorrhage’. Di kalangan masyarakat Melayu pula, pendarahan normal selepas bersalin ini lebih dikenali sebagai darah nifas dan pendarahan yang merbahaya disebut sebagai ‘tumpah darah’.
Apa yang anda perlu tahu tentang pendarahan faraj (lokia)

Setelah beberapa hari bersalin, anda akan mengalami pendarahan faraj atau lokia yang berwarna merah terang dan agak banyak – seolah-olah ketika anda mengalami haid pada hari-hari pertama. Ia mungkin mengalir perlahan atau mengeluarkan pancutan kecil. Jika anda kerap berbaring dalam tempoh yang lama semasa berpantang, mungkin anda akan menemui gumpalan pada darah tersebut.

Sekiranya tubuh badan anda pulih secara normal, pendarahan faraj yang berlaku akan semakin berkurang dari sehari ke sehari. Umumnya, lokia terbahagi kepada 3 iaitu:

i) Lokia Vera (Merah) – keluar dalam tempoh 1 hingga 7 hari.

ii) Lokia Rubra (Kuning) – bermula dari hari ketujuh hingga ke 14.

iii) Lokia Albicam (Putih) – keluar selepas tempoh 14 hari.

Selalunya pendarahan ini akan berterusan sehingga 4 minggu. Namun, jika anda mengambil sebarang pil perancang kehamilan atau suntikan, anda mungkin akan mengalami pendarahan yang lebih lama.

Mengapa terjadinya pendarahan faraj
Apabila keluarnya uri (plasenta) daripada faraj, beberapa pembuluh darah akan terbuka dan menyebabkan pendarahan ke bahagian rahim. Lazimnya, rahim akan mula mengecut sebaik sahaja anda memulakan penyusuan di mana ia akan turut merangsang pengeluaran uri dari rahim. Sekiranya pengecutan rahim berlaku secara normal, pendarahan akan berkurang dalam masa seminggu kerana pembuluh darah yang terbuka tadi akan tertutup semula. Selain itu, aktiviti menyusu juga menghasilkan hormon oksitoksin yang berfungsi mengembalikan rahim ke saiz sediakala.
Apa yang anda perlu buat?
  • Anda tidak perlu risau kerana pendarahan ini amatlah normal. Seperti ketika sedang haid, anda cuma memastikan kebersihan anda terjamin dan sentiasalah menukar pad apabila perlu. Penggunaan tampon haruslah dijauhi kerana ia boleh menyebabkan jangkitan.
  • Setelah bersalin, pundi kencing anda mungkin akan menjadi kurang sensitif. Oleh itu, anda dianjurkan untuk membuang air kecil dengan kerap supaya tidak berlakunya sebarang masalah yang boleh mengganggu proses pengecutan rahim.
  • Anda juga haruslah mendapatkan rehat yang secukupnya kerana kadangkala pendarahan boleh menjadi banyak akibat pergerakan yang terlalu aktif.
Apakah petanda-petanda bahaya semasa pendarahan faraj

Anda dinasihatkan untuk berjumpa doktor jika anda menemui tanda berikut semasa berpantang:

  • Lokia berbau busuk.
  • Anda menghidapi demam panas dan/atau menggigil.
  • Lokia tetap berat dan merah terang selepas minggu pertama;
  • Perut anda sering terasa sakit di bahagian bawah sebelah kiri atau kanan.
Kadang-kala, pendarahan lebih berat dari biasa boleh berlaku 24 jam hingga enam minggu selepas bersalin. Ini dikenali sebagai pendarahan posnatum sekunder atau tumpah darah selepas bersalin (post-partum hemorrhage). Keadaan tumpah darah begini amat merbahaya kerana ia berlaku secara tiba-tiba disebabkan uri yang terlekat dalam rahim, luka dalaman, jangkitan kuman, atau kegagalan rahim untuk menguncup semula setelah bersalin. Tumpah darah yang serius mengakibatkan pendarahan yang sangat banyak sehingga boleh meragut nyawa ibu.

Oleh itu, bersegeralah ke hospital jika terdapat tanda-tanda berikut:

Pendarahan yang sangat banyak secara tiba-tiba dengan membasahi lebih dari satu tuala dalam sejam;

  • Pendarahan kembali kepada merah terang selepas empat hari atau lebih selepas kelahiran dan tidak reda walaupun berehat di katil;
  • Darah berketul-ketul (lebih besar dari syiling 50 sen);
  • Anda mula terasa pening;
  • Denyutan jantung anda semakin laju atau menjadi tidak teratur.

Post a Comment

0 Comments