KEHAMILAN LUAR RAHIM

3:04:00 PM

KENALI MASALAH KEHAMILAN LUAR RAHIM

Apakah itu kehamilan di luar rahim?
Dalam bahasa Inggeris, istilah ini dipanggil ectopic pregnancy. Perkataan ectopic bermaksud "di tempat yang salah". Dan seperti namanya, kehamilan di luar rahim bermaksud kehamilan yang membesar di luar rahim ibu.

Dalam kebanyakan kes kehamilan di luar rahim (95 peratus), implantasi berlaku dalam tiub falopio, dan sebab itulah ia juga dikenali sebagai kehamilan tiub (tubal pregnancy). Apabila kehamilan ini berkembang, ia menyebabkan kesakitan dan pendarahan, dan jika dibiarkan, tiub falopio tersebut boleh pecah dan mengakibatkan pendarahan dalaman.

Ini merupakan kes kecemasan dan boleh mengancam nyawa. Kehamilan seperti ini tidak bertahan lama kerana ia tidak dapat dialihkan ke dalam rahim. Ia harus digugurkan sepenuhnya.

Bilakah kehamilan di luar rahim biasanya berlaku?

Kehamilan di luar rahim biasanya dikenalpasti di antara minggu keempat dan kesepuluh. Simptom-simptomnya biasanya berlaku kira-kira dua minggu selepas tidak datang haid.

Berikut ialah hal-hal yang meningkatkan risiko seseorang wanita mendapat kehamilan luar rahim:

  • Pernah mendapat jangkitan kuman pada kawasan pelvis (penyakit radang pelvis)
  • Pernah mengandung luar rahim sebelum ini
  • Pernah mengalami keguguran kandungan
  • Penggunaan alat perancang kehamilan dalam rahim (intrauterine contraceptive device)
  • Pembedahan pelvis
  • Bertukar-tukar teman seks/seks bebas
  • Usia yang semakin tua
Petanda dan simptom yang boleh dialami

Dalam keadaan biasa:

  • Tiada haid (kerana mengandung)
  • Pendarahan dari vagina (biasanya sedikit sahaja)
  • Sakit pada bahagian pelvis yang berlarutan
Jika berlaku kandungan tuba yang baru pecah:
  • Pitam
  • Pening kepala
  • Denyutan nadi yang laju
  • Tekanan darah yang rendah
  • Sakit pada bahagian bahu (kerana pendarahan di dalam abdomen mengganggu sarafphrenic yang terletak pada diafragma)

Adakah kehamilan di luar rahim akan menjejaskan kesuburan?
Jawapannya ialah ya, ia mungkin berlaku.

Jika tiub-tiub falopio anda tidak rosak selepas kehamilan di luar rahim, maka kebarangkalian untuk anda hamil lagi adalah sama. Jika satu daripadanya telah pecah atau rosak teruk, kebarangkalian untuk hamil adalah kurang, terutamanya jika tiub yang satu lagi itu turut terjejas akibat PID atau endometriosis. Dalam kes ini, samada lebih sukar untuk hamil tetapi masih boleh, bergantung kepada kes anda sendiri.

Kira-kira 65 peratus wanita yang mengalaminya akan hamil lagi dalam masa 18 bulan selepas kehamilan di luar rahim, tetapi jika kedua-dua tiub falopio anda rosak atau pecah, anda mungkin perlu menimbangkan untuk melakukan rawatan IVF.

Berapa lamakah saya harus menunggu sebelum mencuba lagi?

Mereka yang telah menjalani laparoskopi biasanya perlu menunggu tiga hingga empat bulan sebelum mencuba untuk hamil lagi.
Jika anda telah menjalani pembedahan terbuka, lebih baik jika anda menunggu enam bulan untuk membolehkan luka anda sembuh sepenuhnya.

Rawatan

Teknik yang paling biasa dan paling berkesan ialah pembedahan untuk membuang kandungan tersebut. Ini dilakukan kerana kandungan luar janin tidak akan bertahan lama dan mempu mengancam nyawa si ibu. Kadang-kadang dalam keadaan yang mendesak, tisu yang terlibat juga terpaksa dibuang bersama-sama dengan embrio; contohnya ialah pembedahan salfingektomi (salphingectomy) iaitu pembuangan tiub fallopio yang terjejas disebabkan oleh kandungan tuba.

Namun disebabkan oleh perkembangan teknologi ultrasonografi, diagnosa kandungan luar rahim semakin kerap dapat dikenal pasti pada peringkat awal. Jika sedemikian, rawatan tanpa pembedahan boleh dilakukan, tetapi dengan syarat-syarat tertentu yang ketat. 

Rawatan bukan pembedahan ini termasuklah menyuntik pesakit dengan prostaglandin, kalium klorida atau methotrexate. Akibat daripada rawatan ini, embrio yang masih baru itu akan berhenti berkembang dan biasanya akan mengecut, diserap dan hilang di kawasan implantasi. Dalam keadaan lain, embrio tersebut mungkin akan diusir keluar bersama-sama dengan darah haid. Namun selepas rawatan seperti ini dilakukan, pesakit perlulah terus dipantau dengan ultrasonografi dan diukur aras hCG untuk beberapa minggu agar dapat dipastikan bahawa kandungan luar janin tersebut sudah benar-benar tiada.

You Might Also Like

0 comments

Followers

TRAVEL DESTINATION

GRUP MAMA BLOGGERS MALAYSIA (GMBM)

GRUP MAMA BLOGGERS MALAYSIA (GMBM)